WASHINGTON, 22 JULAI – Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (DNI), Tulsi Gabbard kelmarin mengumumkan pendedahan lebih 230,000 halaman dokumen berkaitan pembunuhan tokoh hak sivil Dr Martin Luther King Jr (MLK), lapor agensi Anadolu.
“Dokumen-dokumen ini mengandungi butiran mengenai siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) terhadap pembunuhan itu,” kata Gabbard menerusi platform X.
Pendedahan itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kehakiman (DOJ), FBI, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Arkib Negara, sebagai pelaksanaan kepada perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang mengarahkan ketelusan berhubung pembunuhan Martin Luther King Jr, bekas Presiden John F. Kennedy (JFK) dan Senator Robert F. Kennedy (RFK).
Martin Luther King Jr maut ditembak pada 4 April 1968 ketika berdiri di balkoni Motel Lorraine di Memphis, Tennessee. Beliau ketika itu berusia 39 tahun.
Walaupun James Earl Ray mengaku bersalah atas pembunuhan itu dan dijatuhi hukuman penjara 99 tahun, pelbagai persoalan dan teori konspirasi masih terus diperkatakan
hingga kini.
Gabbard dalam satu kenyataan berkata rakyat Amerika telah menunggu hampir 60 tahun untuk mengetahui ‘skop penuh’ siasatan kerajaan persekutuan terhadap pembunuhan Dr King. – Bernama
