AS ‘diasing’, kuasa dunia tolak sekatan

TEHRAN, 20 SEPT – Iran berkata hari ini musuh ketatnya Amerika Syarikat berdepan ‘pengasingan maksimum’ selepas kuasa-kuasa besar menyingkirkan deklarasi sebelah pihak AS yang mengatakan sekatan PBB ke atas Tehran telah dikuatkuasa semula.

Pentadbiran Trump berkata sekatan itu telah diaktifkan semula di bawah mekanisme balas balik (snapback) pada perjanjian nuklear 2015 – meskipun Washington telah berundur daripada perjanjian tersebut.

Ketika parti-parti lain menimbulkan keraguan atas langkah itu yang mungkin memberi kesan perundangan, Washington mengancam untuk ‘mengenakan akibat’ ke atas negara-negara yang gagal untuk mematuhinya.

Namun Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata kempen yang diaturkan oleh Washington untuk menekan Tehran telah dikritik.

“Kami boleh katakan yang ‘tekanan maksimum’ Amerika ke atas Iran, dari segi aspek politik dan perundangan, telah bertukar menjadi pengasingan maksimum Amerika,” katanya dalam mesyuarat kabinet yang disiarkan di televisyen.

Dia juga memuji pendekatan Majlis Keselamatan PBB terhadap isu terbabit sebagai ‘sangat berharga’ ketika ia tidak mengendahkan ‘permintaan Amerika (dan) tidak mengadakan sesi bagi mempertimbangkan permintaan mereka’.

Majlis Keselamatan itu adalah apa yang “Amerika sering fikir sebagai poin mereka untuk menunjukkan kekuatan,” katanya.

Hari ini, Perancis, Jerman dan Britain mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan ‘kononnya pemberitahuan’ Washington itu ‘tidak mempunyai sebarang kesan perundangan’.

Rusia juga berkata AS kekurangan penguatkuasaan perundangan dan ‘tindakan dan inisiatif tidak sahnya’ itu tidak mempunyai ‘akibat perundangan antarabangsa’ ke atas yang lainnya. – AFP

Seorang wanita memakai penutup mulut dan hidung bagi mencegah pandemik COVID-19, berjalan melintasi grafiti wira legenda Parsi menunggang kudanya dengan banduan terikat tangan di hadapannya di bandar Tehran pada 20 September. – AFP