Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS dibadai lima puting beliung

    DALLAS, 14 DIS – Ribut kuat melanda seluruh Amerika Syarikat (AS), membawa bersama puting beliung yang mendarat di sebahagian kawasan Texas, Oklahoma dan Louisiana, di mana dua kematian dilaporkan, selain ribut salji ke kawasan Great Plains dan cuaca lebih buruk di selatan hari ini.

    Seorang budak lelaki ditemui maut di kawasan Pecan Farms, Keithville, Louisiana, di mana rumahnya musnah semalam selepas puting beliung melanda kira-kira 16 kilometer dari Shreveport, dan mayat ibunya ditemui di bawah runtuhan, kata pejabat Syerif Caddo awal hari ini.

    Pasukan menyelamat telah melancarkan usaha mencari di kawasan itu tetapi tidak ada sesiapa yang dilaporkan hilang, kata pejabat syerif.

    Lima puting beliung disahkan di utara Texas petang semalam berdasarkan video dan laporan saksi, tetapi puluhan lagi bakal berlaku, lapor Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Fort Worth, Texas.

    Puluhan rumah dan perniagaan musnah akibat ribut petir, dan beberapa orang cedera di kawasan Dallas-Fort Worth. Lebih 1,000 penerbangan keluar dan masuk ke lapangan terbang kawasan itu telah ditangguhkan, dan lebih 100 lagi dibatalkan, menurut perkhidmatan penjejak FlightAware.

    Amaran cuaca buruk dijangka berterusan hari ini di Louisiana, Mississippi, Alabama dan Florida Panhandle, menurut Pusat Ramalan Ribut di Norman, Oklahoma. – AP

    Anggota menyelamat meninjau kerosakan akibat puting beliung di Grapevine, Texas pada 13 Disember 2022. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda