GUADALAJARA, MEXICO, 29 MAC – Honduras tempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo selepas menang 2-1 di separuh akhir, sekali gus memusnahkan harapan Amerika Syarikat (AS) dalam kejohanan kelayakan Olimpik CONCACAF semalam.
Mexico menyertai Honduras ke Olimpik Tokyo setelah menewaskan Kanada 2-0 pada separuh akhir kedua untuk mendapatkan tempat kedua dari wilayah Amerika Utara dan Tengah dan Caribbean.
Honduras dan Mexico akan bertanding di final kejohanan pada Selasa ini, walaupun masing-masing sudah layak ke Olimpik, yang akan bermula pada bulan Julai setelah ditunda selama satu tahun kerana wabak koronavirus, melalui kemenangan separuh akhir.
Juan Carlos Obregon menjaringkan gol pada masa kecederaan separuh masa pertama dan Luis Palma menambah gol kedua buat Honduras pada minit ke-47.
Jackson Yueill menjaringkan gol untuk merapatkan jurang buat AS pada minit ke-52 hasil rembatan dari luar petak penalti.
Bagaimanapun, Honduras berjaya melayakkan diri dalam Olimpik kelima dan keempat berturut-turut. “Kami sangat kecewa,” kata jurulatih AS, Jason Kreis setelah kekalahan yang akan menyaksikan mereka terlepas Sukan Olimpik ketiga berturut-turut sejak layak ke Beijing pada tahun 2008.
Ini adalah kali kedua berturut-turut AS ditewaskan oleh Honduras, yang juga menghalang mereka untuk layak ke Rio de Janeiro pada 2016. Kemunculan kejohanan antarabangsa terakhir pasukan lelaki AS adalah pada Piala Dunia 2014.
“Saya rasa ini hanya mengenai kehebatan pemain,” kata Kreis, yang mana pemainnya tidak memiliki penyudah yang baik di gawang hingga Yueill menjaringkan gol.
Manakala dalam perlawanan berasingan, Mexico, pemenang pingat emas 2012, menempah perjalanan kali ke-12 mereka ke Sukan Olimpik dengan dua gol pada separuh masa kedua menentang Kanada.
Mexico menguasai penguasaan pada separuh masa pertama dengan memusnahkan pertahanan Kanada. – AFP