Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS elak sebut penyelesaian dua negara

    WASHINGTON, 3 Mei – Jared Kushner semalam mendedahkan garis kasar baharu pelan perdamaian AS untuk Timur Tengah, menandakan ia akan mengelak daripada menyebut penyelesaian dua negara dengan Palestin dan menerima Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

    Kushner, menantu dan penasihat kanan kepada Presiden Donald Trump, dijangka mengemukakan satu perjanjian yang lama dinanti-nantikan bagi pihak pentadbiran AS pada bulan depan, yang telah menyesuaikan dirinya dengan sayap kanan Israel.

    Berjanji untuk mengambil pendekatan baharu, Kushner memberikan petunjuk paling kuat kepada pentadbiran bahawa pelan tidak akan mencadangkan dua negara untuk Israel dan Palestin – matlamat yang disokong oleh AS selama beberapa dekad dalam rundingan perdamaian.

    “Jika anda menyebut ‘dua negara’, ia bermakna satu perkara kepada Israel, ia bermakna satu perkara kepada Palestin,” kata Kushner di Institut Washington untuk Dasar Timur Dekat.

    “Kami berkata, anda tahu, biarlah kami tidak mengatakannya. Biarlah kami berkata, biarlah kami mengusahakan butir-butir tentang maknanya,” kata beliau.

    Kushner enggan memberikan butir-butir terperinci mengenai pelan sebelum ia diumumkan, tetapi ketika ditanya sama ada ia akan merangkumi status akhir di antara Israel dan Palestin, beliau berkata: “Ya, betul, kami akan memasukkannya.”

    Pemimpin Palestin telah pun berkata ia enggan menerima usaha perantaraan oleh Trump, di mana asas Kristian beliau amat menyokong Israel dan senarai panjang tindakannya yang memihak kepada kerajaan Yahudi termasuk memindah kedutaan AS ke Baitulmaqdis. – AFP

    Jared Kushner semasa bercakap pada sidang Time 100 di New York baru-baru ini. Beliau semalam menekankan bahawa penyelesaian dua negara tidak akan disebut dalam pelan perdamaian Palestin, Israel. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda