MANILA, 15 OKT – Beribu-ribu tentera marin Amerika Syarikat (AS) dan Filipina memulakan latihan bersama selama 10 hari di utara dan barat Filipina hari ini, sehari selepas China mengadakan latihan terbesar di sekitar Taiwan.
Latihan tahunan Kamandag, atau Venom, tertumpu pada mempertahankan pantai utara pulau utama Filipina Luzon, yang terletak kira-kira 800 kilometer dari Taiwan.
Latihan bersama AS-Filipina diadakan berikutan siri konfrontasi yang semakin memuncak antara China dan Filipina mengenai terumbu karang dan perairan di Laut China Selatan.
Ketua Kor Marin Filipina, Mejar Jeneral Arturo Rojas, menegaskan pada majlis perasmian hari ini di Manila bahawa Kamandag telah lama dirancang dan tiada kaitan dengan apa sahaja isu yang berlaku di rantau itu.
Tumpuan utama adalah latihan tembakan langsung di sepanjang pantai utara Luzon, manakala aktiviti lain akan dijalankan di pulau kecil Filipina antara Luzon dan Taiwan.
“Ia adalah latihan pertahanan pantai. Penceroboh mungkin sahaja akan menuju ke wilayah kami,” kata pengarah latihan Filipina, Brigedier Jeneral Vicente Blanco kepada pemberita.
“Kami bukan membuat latihan untuk menyertai perjuangan terhadap Taiwan,” tambahnya. – AFP