Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS, Filipina dijangka bincang hubungan ekonomi

    MANILA, 11 JULAI – Presiden Donald Trump akan menjadi tuan rumah kepada rakan sejawatannya dari Filipina di Rumah Putih tidak lama lagi untuk membincangkan bagaimana sekutu perjanjian lama itu boleh memperdalam lagi hubungan keselamatan dan ekonomi mereka, kata duta Filipina ke Amerika Syarikat (AS) hari ini.

    Tiada tarikh ditetapkan untuk pertemuan Presiden Ferdinand Marcos Jr dengan Trump di Washington tetapi Duta Besar, Jose Manuel Romualdez berkata ia akan diadakan tidak lama lagi bulan ini. Pihak sekutu telah meningkatkan penglibatan pertahanan bersama, termasuk latihan pertempuran berskala besar di Filipina.

    “Antara topik yang dicadangkan untuk perbincangan itu nanti ialah memperkukuh keamanan melalui pencegahan,” kata Romualdez kepada The Associated Press melalui telefon. Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bertemu rakan sejawatannya dari Jepun dan Filipina dalam satu mesyuarat kelmarin di luar mesyuarat tahunan menteri-menteri Persatuan Negara-negara Asia Tenggara di Malaysia. AS, Jepun dan Filipina telah membina blok tiga hala untuk meluaskan kerjasama keselamatan dan ekonomi.

    “Kami mempunyai hubungan yang baik dengan Jepun dan Filipina dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam koridor ekonomi, keselamatan maritim serta integriti wilayah dan terus membina perkongsian itu,” kata Rubio selepas pertemuannya di Malaysia dengan Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya; dan Setiausaha Luar Filipina, Theresa Lazaro.

    AS berulang kali berkata ia bertanggungjawab untuk mempertahankan Filipina, sekutu perjanjian tertuanya di Asia, jika tentera, kapal atau pesawat Filipina diserang bersenjata, termasuk di Laut China Selatan. – AP

    Gambar fail bertarikh 20 Disember 2024 menunjukkan Marcos Jr. berucap semasa ulang tahun ke-89 Angkatan Tentera Filipina, di Quezon City, Filipina. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda