ISTANBUL, 23 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan satu perjanjian perdagangan baharu dengan Filipina susulan pertemuannya dengan Presiden Ferdinand Marcos di Rumah Putih kelmarin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Ia merupakan satu lawatan yang indah dan kami memeterai Perjanjian Perdagangan, dengan Filipina akan membuka pasaran kepada AS dengan tarif sifar. Filipina akan membayar tarif sebanyak 19 peratus,” kata Trump menerusi platform Truth Social.
Terdahulu, AS mengumumkan akan mengenakan tarif sebanyak 20 peratus ke atas eksport dari Filipina yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Ogos.
Trump turut memaklumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk meneruskan kerjasama ketenteraan.
Filipina, sekutu tentera AS yang telah lama wujud di rantau Asia-Pasifik, menjadi tuan rumah kepada tentera Amerika dan menyediakan akses ke pangkalan tenteranya. Kedua-dua negara mengekalkan perjanjian pertahanan bersama sejak 1951. – Bernama/Anadolu
