WASHINGTON, 4 MAC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggantung sementara bantuan ketenteraan kepada Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik laporan media AS.
Tindakan itu diambil hanya beberapa hari selepas Trump bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky di Pejabat Oval.
Menurut stesen penyiaran AS, Fox News yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan kerajaan yang tidak dinamakan, keputusan itu bukan bersifat kekal, sebaliknya hanya sementara.
Akhbar The New York Times pula melaporkan bahawa sokongan akan disambung semula sebaik Trump memastikan Ukraine komited terhadap rundingan damai dengan Rusia.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Rumah Putih.
Di bawah pentadbiran Joe Biden sebelum ini, AS merupakan penyokong terbesar dan terpenting Ukraine dalam operasi pertahanannya terhadap Rusia. – Bernama/dpa
