WASHINGTON, 21 MEI – Amerika Syarikat (AS) akan mengehadkan dos penggalak COVID-19 kepada individu berusia lebih 65 tahun atau mereka yang berisiko menghidap penyakit serius, sementara mewajibkan pembuat vaksin menjalankan ujian klinikal baharu sebelum menawarkan suntikan kepada individu yang lebih muda dan sihat, kata pegawai kelmarin.
Menulis dalam New England Journal of Medicine, Vinayak Prasad, dari Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) dan Pesuruhjaya Martin Makary merangka peralihan dasar itu sebagai berasaskan bukti dan akan menyelaraskan AS sejajar dengan panduan di Eropah.
Namun, ia berubah selepas Setiausaha Kesihatan, Robert F. Kennedy Jr., seorang yang ragu-ragu terhadap vaksin, mendesak untuk menyemak semula dasar kesihatan awam persekutuan.
Kennedy sebelum ini mengetuai organisasi bukan untung yang mengkritik program imunisasi dan semasa pandemik memohon kepada FDA untuk membatalkan kebenaran vaksin COVID, memetik kesan sampingan yang jarang berlaku termasuk keradangan jantung.
Prasad dan Makary memuji pelancaran awal vaksin COVID-19 sebagai pencapaian besar saintifik, perubatan dan peraturan, tetapi berpendapat faedah penggalak secara berulang untuk individu berisiko rendah adalah tidak pasti.
Mereka mengkritik pendekatan AS yang mengesyorkan penggalak untuk semua orang dewasa tanpa mengira umur atau status kesihatan, menggelarnya sebagai model yang sesuai untuk semua berdasarkan kepercayaan bahawa orang Amerika tidak dapat mengendalikan nasihat berasaskan risiko yang berbeza.
Daripada membina kepercayaan orang ramai, ia telah menerima kesan bertentangan – menimbulkan keraguan terhadap pemberian vaksin yang telah menular kepada suntikan kanak-kanak, termasuk campak. – AFP
