Friday, May 3, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    AS halang keahlian Palestin dalam PBB

    ISTANBUL, 19 APRIL – Palestin mengecam sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto bagi menolak usul  Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) hari ini yang menuntut keanggotaan penuh Palestin dalam PBB.

    Dalam kenyataan, Presiden Palestin menyifatkan langkah itu sebagai ‘tidak adil, tidak beretika dan tidak wajar, mencabar kehendak masyarakat antarabangsa’, lapor agensi Anadolu.

    Beliau menekankan bahawa dasar AS yang agresif terhadap Palestin, rakyatnya dan hak sah mereka merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

    Presiden juga menyatakan bahawa veto AS menggalakkan kesinambungan perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis yang diduduki.

    Beliau juga menekankan bahawa veto mendedahkan percanggahan dalam dasar AS, yang mendakwa menyokong penyelesaian dua negara terhadap konflik Palestin-Israel sambil menghalang masyarakat antarabangsa daripada melaksanakan penyelesaian ini melalui penggunaan veto berulang kali.

    Penolong Duta AS ke PBB, Robert Wood mengundi membantah resolusi membenarkan keahlian Palestin dalam PBB di ibu pejabat PBB di New York pada 18 April 2024. – AFP

    Seramai 15 ahli majlis berkumpul di New York bagi mengundi draf resolusi yang dikemukakan oleh Algeria yang mengesyorkan kemasukan Negara Palestin untuk menjadi ahli PBB.

    Keahlian itu disekat selepas 12 menyokong manakala dua berkecuali, termasuk United Kingdom (UK) dan Switzerland. 

    Palestin telah diterima sebagai negara pemerhati Perhimpunan Agung PBB pada 2012, yang membolehkan utusannya mengambil bahagian dalam perbahasan dan organisasi PBB tetapi tanpa undian.

    Negara-negara diterima ke dalam keanggotaan PBB melalui keputusan Perhimpunan Agung atas cadangan Majlis Keselamatan, menurut Piagam PBB.

    Resolusi majlis memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi memihak dan tiada kuasa veto oleh anggota tetap AS, Britain, Perancis, Rusia atau China untuk diluluskan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...