Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS hantar 2 juta dos Moderna ke Vietnam

    WASHINGTON, 6 JULAI – Amerika Syarikat (AS) menghantar dua juta dos vaksin COVID-19 ke Vietnam hari ini, kata Rumah Putih, dalam bantuan terbaharunya kepada negara-negara yang bergelut mengawal pandemik.

    Penghantaran vaksin Moderna – sebahagian daripada 80 juta dos pertama yang telah dijanji akan diperuntukkan di seluruh dunia oleh Presiden Joe Biden – harus tiba di Vietnam pada hujung minggu ini, beritahu pegawai Rumah Putih, yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, kepada AFP.

    “Ia hanya permulaan dos yang dihantar ke negara Asia Tenggara,” kata pegawai.

    Satu juta dos disalurkan ke Malaysia semalam dan minggu lalu Rumah Putih mengumumkan penghantaran empat juta dos ke Indonesia ‘tidak lama lagi.’

    Negara serantau lain yang bakal menerima sebahagian daripada 80 juta dos adalah Kemboja, Laos, Papua New Guinea, Filipina dan Thailand.

    Gambar fail menunjukkan bebuli Moderna terletak di atas meja di klinik vaksinasi di Bridgeport, Connecticut. – AFP

    Vietnam, bersempadan dengan China, pada mulanya dilihat sebagai contoh negara cemerlang menentang pandemik. Bagaimanapun, kadar vaksinasi adalah rendah di negara dengan 97 juta populasi dan beberapa minggu lalu telah menyaksikan jangkitan meningkat mendadak.

    Pegawai pentadbiran Biden berkata penghantaran vaksin ke Vietnam, menerusi program Covax Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, adalah sebahagian daripada strategi bertujuan ‘menamatkan pandemik di semua tempat.’

    Sumbangan bukan merupakan ‘diplomasi vaksin’ seperti yang dianggap oleh China dan Rusia, menurut pegawai, walaupun Beijing dan Moscow telah menggunakan vaksin keluaran tempatan untuk menyebar pengaruh di seluruh dunia.

    “Kami berkongsi dos berkenaan bukan untuk mendapatkan konsesi atau keistimewaan.

    Vaksin kami tidak datang bersama ikatan,” kata pegawai, menekankan dasar Rumah Putih.

    Selain 80 juta dos yang telah pun diperuntukkan, pentadbiran Biden juga komited untuk menyumbang AS$2 bilion kepada program Covax.

    Pada keseluruhannya, AS setakat ini telah menghantar kira-kira 40 juta dos ke negara termasuk Korea Selatan dan Honduras, kata Rumah Putih. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda