WASHINGTON, 1 JUN – Amerika Syarikat (AS) telah menghantar cadangan perjanjian nuklear kepada Iran yang menurut Rumah Putih adalah ‘boleh diterima’ dan ‘menjadi kepentingan terbaik’ untuk diterima oleh negara itu, lapor media AS kelmarin.
Perkembangan itu berlaku sejurus selepas satu laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa republik Islam tersebut telah meningkatkan pengeluaran uranium diperkaya tinggi.
Menteri Luar Negeri Iran, Abbas Araghchi, berkata dia telah menerima ‘unsur-unsur cadangan AS’ yang disampaikan oleh rakan sejawatannya dari Oman semasa lawatan ke Tehran kelmarin.
“Utusan Khas Witkoff telah menghantar cadangan terperinci dan boleh diterima kepada Iran dan adalah demi kepentingan mereka untuk menerimanya,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt seperti dilaporkan New York Times.
Menurut New York Times, cadangan itu digariskan dalam bentuk butir-butir utama dan bukan draf penuh, merujuk kepada maklumat pegawai yang mengetahui pertukaran diplomatik tersebut.
Cadangan itu menyeru Iran untuk meng-hentikan sepenuhnya aktiviti pengayaan uranium dan mencadangkan penubuhan satu kumpulan serantau untuk menjana tenaga nuklear, yang bakal melibatkan Iran, Arab Saudi serta negara-negara Arab lain dan juga AS.
Iran telah mengadakan lima pusingan run-dingan dengan AS dalam usaha mencapai perjanjian baharu bagi menggantikan perjanjian terdahulu dengan kuasa-kuasa besar yang ditarik diri oleh Presiden Donald Trump pada penggal pertama beliau pada 2018.
Araghchi kelmarin berkata bahawa Iran menganggap senjata nuklear sebagai ‘tidak boleh diterima’. – AFP
