Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS hantar pulang 5 pendatang Asia, Caribbean ke Eswatini

    WASHINGTON, 16 JULAI – Amerika Syarikat (AS) telah mengusir lima pendatang dari negara Asia dan Caribbean ke Eswatini, sebuah negara kecil di benua Afrika, selepas negara asal mereka enggan menerima kepulangan mereka, kata pegawai kelmarin.

    Lima individu tersebut merupakan warganegara Cuba, Jamaica, Laos, Vietnam dan Yaman.

    “Pendatang asing haram yang gasar itu begitu biadab sehinggakan negara asal mereka sendiri enggan menerimanya kembali,” menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS di platform X.

    Menurut DHS, kesemua mereka disabitkan dengan jenayah kejam termasuk rogol kanak-kanak dan pembunuhan.

    Pentadbiran Presiden Donald Trump mempertahankan dasar pengusiran ke negara ketiga sebagai satu keperluan, memandangkan sesetengah negara asal enggan menerima rakyat mereka yang diarahkan keluar dari AS.

    Gambar AP

    Mahkamah Agung AS pada Jun lalu memberi laluan kepada pentadbiran Trump untuk menyambung semula dasar pengusiran ke negara selain negara asal individu terbabit.

    Awal bulan ini, Washington turut mengusir lapan pendatang lain ke Sudan Selatan, yang kini dibelenggu konflik.

    Lapan individu itu terdiri daripada dua warga Cuba, dua warga Myanmar serta masing-masing seorang dari Vietnam, Laos, Mexico dan Sudan Selatan. Mereka semua turut mempunyai rekod jenayah keganasan.

    Eswatini, satu-satunya monarki mutlak di benua Afrika, telah diperintah oleh Raja Mswati III sejak tahun 1986. Pemerintah berusia 57 tahun itu sering dikritik disebabkan gaya hidup mewah dan berdepan tuduhan pelanggaran hak asasi manusia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda