Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS hantar pulang pendatang India

    AMRITSAR, 5 FEB – Sebuah pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) membawa lebih 100 pendatang India yang diusir oleh AS telah mendarat di India hari ini, lapor media tempatan.

    Beribu-ribu pendatang tanpa izin telah ditangkap sejak pelantikan Trump pada 20 Januari lalu, termasuk beberapa orang yang dituduh melakukan jenayah.

    Seorang jurugambar AFP di bandar utara Amritsar melihat pesawat tentera AS itu mendarat, dengan media India melaporkan ia membawa 104 pendatang India.

    Perintah eksekutif Trump yang bertujuan untuk membaik pulih imigresen untuk AS dianggarkan memberi kesan kepada 11 juta pendatang tanpa izin.

    New Delhi dan juga Washington tidak mengulas secara khusus mengenai pengusiran itu.

    Bagaimanapun, jurucakap kedutaan AS di India berkata Washington bertekad menguatkuasakan undang-undang di sempadannya, mengetatkan undang-undang
    imigresen dan mengusir pendatang tanpa izin.

    Jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal berkata minggu lalu New Delhi menentang penghijrahan haram, terutamanya kerana ia dikaitkan dengan bentuk jenayah terancang lain.

    “Sebagai sebahagian daripada penghijrahan dan kerjasama mobiliti India-AS, kedua-dua pihak terlibat dalam proses untuk menghalang penghijrahan haram, sementara mewujudkan lebih banyak jalan untuk penghijrahan yang sah dari India ke AS,” kata Jaiswal. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda