WASHINGTON, 11 NOV – Amerika Syarikat (AS) akan menghapuskan amaran keselamatan ketat terhadap kebanyakan terapi hormon yang digunakan untuk meredakan simptom menopaus, selepas pihak berkuasa menyatakan bahawa risiko yang dikaitkan dengannya sebelum ini telah dibesar-besarkan.
Terapi Penggantian Hormon (HRT) berfungsi menggantikan hormon estrogen yang berhenti dihasilkan oleh tubuh wanita semasa menopaus, dengan tujuan mengurangkan simptom seperti rasa panas melampau, kabut otak, insomnia, peluh malam dan sakit sendi.
Rawatan ini dahulunya digunakan secara meluas, namun preskripsi dan penggunaannya menurun dengan mendadak di seluruh dunia selepas satu kajian penting pada awal 2000an mendapati terdapat risiko berkaitan dengan beberapa jenis formulasi HRT tertentu.
Sejak itu, ‘amaran kotak hitam’, iaitu amaran paling tegas yang boleh dikeluarkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS terhadap ubat preskripsi, telah digunakan bagi memberi amaran tentang peningkatan risiko HRT termasuk kanser tertentu, penyakit kardiovaskular dan kemungkinan demensia.
Namun, pengkritik mendakwa kajian Inisiatif Kesihatan Wanita pada awal 2000an itu mempunyai kelemahan kerana ia menumpukan kepada wanita yang telah melepasi menopaus selama satu dekad dan berusia sekitar 60an, ketika risiko kardiovaskular memang meningkat secara semula jadi.
Kini, garis panduan perubatan umumnya menunjukkan bahawa wanita sihat yang baru memasuki fasa menopaus atau perimenopause, lazimnya berusia 40an hingga 50an, merupakan calon yang sesuai untuk rawatan ini.
Selain itu, terdapat juga bentuk terapi hormon yang lebih baharu dengan dos lebih rendah atau kesan yang lebih setempat.
“Kami mencabar pemikiran lama dan kembali kepada amalan perubatan berasaskan bukti yang memberi kuasa kepada pesakit, bukan menghadkan mereka,” kata Ketua Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr semasa mengumumkan langkah tersebut.
Ramai pakar telah lama menggesa agar label amaran kotak hitam dikaji semula kerana ia boleh menakutkan wanita yang sebenarnya berpotensi mendapat lebih banyak manfaat berbanding risiko. – AFP

