Jumaat, November 21, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS hapus sebahagian tarif ke atas empat negara Amerika Latin

    WASHINGTON, 14 NOV – Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mencapai rangka kerja perjanjian perdagangan dua hala dengan Argentina, Guatemala, El Salvador dan Ecuador, kata Rumah Putih kelmarin.

    Di bawah perjanjian itu, AS akan menghapuskan tarif timbal balas ke atas item tertentu yang tidak boleh ditanam, dilombong atau dihasilkan secara semula jadi di AS; dan keempat-empat negara itu bersetuju untuk bekerjasama dengan AS atau membuka pasaran mereka dalam pelbagai bidang.

    Washington juga akan memansuhkan tarif timbal balik ke atas produk tekstil dan pakaian dari Guatemala dan El Salvador, menurut perjanjian berkenaan.

    Selain itu, Argentina akan menyediakan akses pasaran keutamaan bagi eksport barangan AS, termasuk ubat-ubatan tertentu, bahan kimia, jentera, produk teknologi maklumat, peranti perubatan, kenderaan bermotor dan pelbagai jenis produk pertanian, menurut Rumah Putih.

    Namun, AS akan mengekalkan kadar tarif 10 peratus ke atas kebanyakan barangan dari Argentina, Guatemala dan El Salvador, serta 15 peratus ke atas kebanyakan barangan dari Ecuador, lapor media tempatan memetik pegawai kanan AS dalam satu taklimat.

    Rumah Putih menjangkakan perjanjian itu dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang. Tarif timbal balas yang dikenakan pentadbiran AS awal tahun ini telah meningkatkan tekanan inflasi beberapa bulan kebelakangan ini, dengan indeks harga pengguna AS pada September meningkat tiga peratus tahun ke tahun.

    Penurunan atau pemansuhan tarif timbal balas ke atas barangan seperti pisang, kopi dan koko dijangka dapat mengurangkan tekanan inflasi di negara itu. – Bernama

    Marco Rubio (kanan), menyambut Menteri Luar Argentina, Pablo Quirno, di Jabatan Negara di Washington, DC, pada 13 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda