NEW YORK, 28 DIS – Aplikasi perkongsian video popular TikTok tidak akan dibenarkan pada peranti rasmi yang digunakan oleh Dewan Perwakilan dan kakitangan kerajaan, menurut Ketua Pejabat Pentadbiran Amerika Syarikat (AS).
“Pejabat Keselamatan Siber menganggap aplikasi mudah alih TikTok berisiko tinggi kepada pengguna disebabkan beberapa ciri keselamatannya.
“Jika awda mempunyai aplikasi TikTok pada peranti mudah alih bagi kegunaan rasmi, awda akan dihubungi bagi mengalih keluar aplikasi berkenaan,” menurut pejabat berkenaan dalam e-mel yang dihantar kepada Ahli Dewan Perwakilan dan kakitangan kelmarin.
Pegawai AS pada bulan lalu memberi amaran bahawa data yang dikumpulkan pada aplikasi itu boleh ‘digunakan secara salah’, lapor agensi Anadolu.
Rang undang-undang perbelanjaan AS$1.7 trilion yang diluluskan oleh Senat minggu lalu juga mentakrifkan larangan menggunakan TikTok pada hampir semua peranti kerajaan di AS.
Setelah ditandatangani menjadi undang-undang, larangan ke atas aplikasi itu bakal meliputi hampir semua agensi kerajaan. – Bernama


