ISTANBUL, 7 MEI – Oman semalam mengumumkan bahawa usaha pengantaraannya membawa kepada perjanjian gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan Houthi di Yaman, selepas kenyataan Presiden Donald Trump bahawa kumpulan itu tidak lagi melancarkan serangan ke atas kapal dagang, lapor agensi Anadolu (AA).
“Menerusi rundingan dan hubungan terkini yang dijalankan oleh Oman dengan AS serta pihak berkuasa berkaitan di Sanaa, Yaman bagi tujuan meredakan ketegangan, usaha berkenaan menghasilkan perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak.
“Pada masa hadapan, tiada pihak akan menyasarkan pihak satu lagi, termasuk kapal Amerika di Laut Merah dan Selat Bab al-Mandab bagi memastikan kebebasan pelayaran dan kelancaran perdagangan maritim antarabangsa,” kata Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi dalam kenyataan menerusi platform X.
Oman turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak atas pendekatan membina yang membawa kepada hasil positif, dan berharap ia akan membuka jalan kepada kemajuan lanjut dalam pelbagai isu serantau ke arah keadilan, keamanan dan kemakmuran untuk semua, katanya.
Kumpulan Houthi mula menyerang laluan perkapalan di Laut Merah dan Laut Arab selepas tercetusnya perang Israel di Gaza, sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin.
Pada Mac lalu, Trump melancarkan operasi ketenteraan terhadap kumpulan itu di Yaman. – Bernama
