BEIJING, 1 MEI – Pegawai Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah menghubungi rakan sejawat mereka di China bagi membuka ruang rundingan berhubung tarif perdagangan yang semakin menekan pasaran dan rantaian bekalan global, menurut satu laporan daripada saluran media rasmi China hari ini.
Media yang berpangkalan di Beijing, Yuyuan Tantian – yang berhubung kait dengan penyiar negara, CCTV – memetik sumber yang mendakwa Washington kini sedang ‘proaktif’ menggunakan pelbagai saluran komunikasi untuk mengadakan perbincangan dengan pihak China.

“Dari sudut rundingan, AS kini berada dalam keadaan lebih terdesak,” menurut laporan itu di platform media sosial mirip X, Weibo. Ia turut menyebut bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump sedang berdepan pelbagai tekanan politik dan ekonomi.
Pada April lalu, AS mengenakan tarif baharu sehingga 145 peratus ke atas barangan buatan China, manakala Beijing membalas dengan cukai import balas sebanyak 125 peratus terhadap produk dari Amerika.
Presiden Trump dalam satu sesi town hall bersama NewsNation kelmarin sekali lagi menyatakan keyakinannya terhadap potensi perjanjian.
“Ada peluang sangat baik kita akan capai persetujuan. Tapi ia mesti mengikut syarat kita dan mestilah adil,” katanya.
Walau bagaimanapun, Kementerian Luar China sebelum ini menafikan sebarang rundingan sedang berlangsung, sambil menyeru AS agar menjalankan dialog secara ‘adil, saling menghormati dan timbal balik’.
Dalam masa sama, Beijing turut menegaskan pendiriannya bahawa negara itu bersedia untuk ‘berjuang hingga ke penghujung’ dalam perang perdagangan jika perlu. Malah, satu video tular yang dimuat naik kementerian itu baru-baru ini menegaskan bahawa China ‘tidak akan sesekali tunduk!’
AFP memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Kementerian Luar China untuk mendapatkan maklum balas lanjut. – AFP