WASHINGTON, 8 APRIL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin berkata Washington sedang mengadakan perbincangan ‘peringkat tertinggi’ dengan Iran berhubung program nuklear Tehran, sambil menyatakan rundingan itu adalah ‘demi kepentingan terbaik Iran,’ lapor agensi Anadolu (AA).
“Kami sedang mengadakan perbincangan secara langsung dengan Iran dan ia telah bermula. Ia akan diteruskan pada Sabtu. Kami ada satu mesyuarat besar, dan kita akan lihat apa yang boleh berlaku. Saya rasa semua orang bersetuju mencapai perjanjian adalah lebih baik berbanding melakukan perkara yang sudah jelas dan perkara itu bukanlah sesuatu yang saya mahu terlibat,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih.
“Sekarang kami berunding secara langsung dengan mereka. Dan mungkin satu perjanjian akan dimeterai – itu sangat bagus, ia benar-benar bagus untuk Iran,” tambahnya.
“Perbincangan yang dijadualkan itu bakal menjadi rundingan terus pertama antara Washington dan Tehran sejak tertubuhnya Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2015.”
Trump secara sepihak menarik AS keluar daripada perjanjian nuklear itu pada 2018 perjanjian yang dimeterai antara Iran dan kuasa-kuasa dunia – dan mengenakan semula sekatan terhadap Tehran sebagai sebahagian daripada apa yang digambarkannya sebagai ‘kempen tekanan maksimum.’
Meskipun Iran telah mematuhi perjanjian itu selama lebih setahun selepas AS menarik diri, negara itu secara beransur-ansur telah mengurangkan komitmennya dengan alasan kegagalan negara untuk penandatangan perjanjian lain untuk melindungi kepentingan ekonomi mereka. – Bernama
