Thursday, May 9, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    AS, Jepun kerjasama perkukuh rantaian bekalan bateri EV

    WASHINGTON, 28 MAC – Amerika Syarikat (AS) dan Jepun telah mencapai perjanjian mengenai perniagaan dalam galian yang merupakan kunci kepada bateri kenderaan elektrik (EV), kata pegawai perniagaan AS hari ini, satu tindakan untuk memperkukuh rantaian bekalan dalam sektor yang didominasi oleh China.

    Elemen nadir bumi dan galian seperti litium menjadi semakin penting dalam teknologi tenaga bersih, tetapi AS dijangka berdepan jurang dalam bekalan galian sedemikian ketika ia memenuhi permintaan untuk EV.

    Perjanjian terbaharu AS-Jepun itu termasuk komitmen tidak mengenakan duti eksport ke atas galian penting yang dihantar ke negara lain, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Wakil Perdagangan AS (USTR).

    “AS dan Jepun berkongsi kepentingan bersama dalam memperkukuh rantaian bekalan di antara rakan perkongsian dan menambah ketahanan ke atas ancaman seperti monopoli ekonomi,” tambah USTR.

    Duta, Katherine Tai berkata perjanjian menandakan ‘saat dialualukan’ ketika Washington terus bekerjasama dengan sekutu dan rakan untuk merangsang rantaian bekalan, termasuk menerusi Akta Pengurangan Inflasi (IRA).

    Undang-undang itu menetapkan 40 peratus daripada galian penting dalam bateri EV perlu dikeluarkan dari, atau diproses di negara yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan AS.

    Angka ini dijangka meningkat kepada 80 peratus pada 2027 dan peraturan itu akan mengecualikan Kesatuan Eropah dan Jepun – menimbulkan kebimbangan daripada kedua-dua pihak.

    Jabatan Perbendaharaan akan mengeluarkan satu notis pada akhir bulan ini mengenai panduan syarat-syarat komponen galian dan bateri IRA. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Katherine Tai bercakap semasa bertemu dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Nishimura Yasutoshi sebelum menandatangani perjanjian di Kompleks Rumah Putih di Washington. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...