SANTA CLARE, 27 Julai – Jaringan lewat Jordan Morris telah menjulang Amerika Syarikat (AS) bagi kemenangan 2-1 ke atas Jamaica hari ini di final Piala Emas CONCACAF.
AS telah meraih mahkota Piala Emas keenam mereka, kurang satu daripada tujuh kejuaraan rekod Mexico dalam kejohanan serantau bagi Amerika Utara dan Tengah dan Caribbean.
Morris memastikan kemenangan dengan gaya dramatik apabila menjaringkan gol pada minit ke-89.
Satu tandukan keluar Jamaica terkena bintang AS, Clint Dempsey dalam kawasan penalti dan Morris dengan pantas merembat kencang bola terbiar itu menewaskan penjaga gol Jamaica, Dwayne Miller dan menerjah ke jaring.
Sepakan percuma menarik Jozy Altidore telah memberikan AS pendahuluan pada minit ke-45, tetapi Jamaica menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi Je-Vaughn Watson, menyaksikan Jamaica terus memberi AS tekanan.
Jamaica bermain bagi final Piala Emas kedua mereka, sebelum ini tewas kepada Mexico pada tahun 2015.
Tahun itu mereka menyingkirkan AS di separuh akhir, sementara tahun ini mereka mengetepikan Mexico di peringkat separuh akhir.

Meskipun mereka telah menyertai AS dan Mexico sebagai satu-satunya pasukan yang mara ke final berturut-turut, mereka kini hanya pasukan kedua untuk kalah di final berturut-turut.
Sejak Piala Emas diperkenalkan, Mexico dan AS telah memenangi semua kecuali satu edisi, dengan Kanada menjulangnya pada tahun 2000.
Jamaica kehilangan penjaga gol terbaik mereka, Andre Blake, kerana kecederaan tangan dalam aksi awal perlawanan.
Jurulatih AS, Bruce Arena berkata kejohanan itu menunjukkan bahawa AS menuju ke laluan yang tepat, dengan kelayakan Piala Dunia dijangka disambung pada 1 September.
“Kami mengharungi kejohanan di mana kami menjaringkan gol paling banyak daripada mana-mana pasukan, berada di kedudukan kedua bagi gol bolos, lima kemenangan dan menggunakan 27 orang pemain,” kata Arena. “Ia adalah persiapan yang hebat bagi program kami. Setentunya tidak sempurna, tetapi dengan apa yang kami cuba capai, kami berjaya mencapainya. – AFP