Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS kecewa sekatan Korea U dilanggar

    WASHINGTON, 29 Dis – Presiden Donald Trump mengkritik China semalam ekoran laporan mengatakan kapal China memindah minyak ke kapal Korea Utara di laut, yang melanggar sekatan PBB terhadap program senjata nuklear Utara.

    Trump berkata di Twitter bahawa China telah “ditangkap secara terang-terangan,” menambah, bahawa beliau berasa “amat kecewa dengan China membenarkan minyak disalurkan ke Korea Utara.”

    “Tidak akan ada penyelesaian yang mesra kepada masalah Korea Utara jika kejadian seumpama ini terus berlaku!” kata presiden, tanpa memetik sumber maklumatnya.

    Beliau kemudian memberitahu akhbar The New York Times, “Ia dilaporkan pada pagi ini, dan turut dilaporkan kepada Fox.”

    China menyumbang sebahagian besar perdagangan luar dan bekalan minyak Korea Utara. Dua minggu lalu, Trump memuji China atas bantuannya dalam kempen tekanan yang diketuai AS ke atas Pyongyang, termasuk sokongan kepada tiga resolusi Majlis Keselamatan PBB pada tahun ini, yang terbaru pada minggu lalu, berhubung ujian nuklear dan peluru berpandu Utara.

    Bagaimanapun, pada Selasa akhbar Korea Selatan Chosun Ilbo memetik pegawai kerajaan Korea Selatan yang tidak dikenal pasti sebagai berkata satelit pengintipan AS telah menemui kapal China memindah minyak ke kapal Korea Utara kira-kira 30 kali sejak Oktober di luar laut China. Laporan tersebut disiar dalam beberapa saluran media AS, termasuk Fox News.

    Kementerian luar China telah mempertahankan penguatkuasaan sekatan PBB ke atas Korea Utara.

    Seorang jurucakap kementerian berkata pada Rabu beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai laporan terbaru, namun berkata China telah menguatkuasakan sekatan perdagangan.

    Jabatan Negara tidak bertindak balas kepada permintaan untuk mengulas laporan itu. Namun dalam ulasan yang disiar semalam, Setiausaha Negara Rex

    Tillerson menggesa Beijing supaya menggunakan ‘pengaruh ekonomi tegas’ ke atas Pyongyang. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda