WASHINGTON, 27 JULAI – Amerika Syarikat (AS) mengekalkan sekatan kemasukan pelawat antarabangsa ke negara itu susulan peningkatan kes COVID-19 varian Delta.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki menegaskan dasar itu kekal meskipun wujud tekanan dalam kalangan negara Eropah, kerana peningkatan kes varian Delta masih membimbangkan.
“Kita akan kekalkan sekatan kemasukan buat masa sekarang kerana varian Delta yang lebih mudah berjangkit kini sedang pantas merebak di AS dan serata dunia.
“Trend peningkatan kes koronavirus ini dijangka berterusan untuk beberapa minggu lagi, dengan mereka yang belum divaksin menghadapi risiko tertinggi,” katanya.
AS menyekat kemasukan pelawat dari Kesatuan Eropah (EU), Britain, China dan Iran sejak lebih setahun lalu susulan pandemik COVID-19 dan kemudian menambah negara lain seperti Brazil serta India dalam senarai itu.
Jun lalu, EU mula membenarkan kemasukan pelawat dari AS dan negara lain yang mempunyai pengesahan sudah divaksin atau diuji negatif bagi koronavirus. – AFP