Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS kenakan sekatan ke atas 70 syarikat

    WASHINGTON, 26 MAC – Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan eksport ke atas 70 syarikat dari China, Pakistan, Afrika Selatan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Sputnik/RIA Novosti.

    Syarikat-syarikat itu telah dimasukkan ke dalam Senarai Entiti AS kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang bertentangan dengan kepentingan negara AS, menurut peraturan Biro Industri dan Keselamatan (BIS) yang dijadual diterbitkan pada 28 Mac.

    “Dalam peraturan akhir ini, BIS meminda Peraturan Pentadbiran Eksport dengan menambah 70 entiti ke dalam senarai, termasuk 42 dari China, dua dari Iran, Pakistan (19), Afrika Selatan (3) dan UAE (4).

    Entiti-entiti terbabit telah ditentukan oleh kerajaan AS sebagai bertindak bertentangan dengan kepentingan keselamatan atau dasar luar AS,” menurut dokumen itu.

    Antara syarikat yang disenarai hitam termasuk Britlite Engineering Company, Indentech International, IntraLink Incorporated, Proc-Master, Rehman Engineering and Services serta Sadidians dari Pakistan, yang dikatakan terlibat dalam aktiviti nuklear negara itu tanpa pemantauan keselamatan.

    Selain itu, Scikro Instruments Limited dari Hong Kong, Scikro Instrument Co. dari Shanghai, Anhui Kehua Sci-Tech Trading Co., Associated Optoelectronics (Chongqing) Co., Chongqing Southwest Integrated Circuit Design Co. serta ORICAS Import and Export (Beijing) Corporation turut disenaraikan kerana disyaki memperoleh barangan dari AS yang berkaitan dengan teknologi kuantum dan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara AS.

    Sementara itu, Fox Business melaporkan bahawa pegawai China dijadualkan bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer hari ini bagi membincangkan isu tarif dan sekatan perdagangan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda