WASHINGTON, 6 JUN – Amerika Syarikat (AS) kenakan sekatan terhadap empat orang hakim di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana didakwa mengambil tindakan terhadap warganegara AS dan Israel tanpa kebenaran, umum Setiausaha Negara Marco Rubio kelmarin.
Dalam satu kenyataan, Rubio menyebut sekatan terhadap Solomy Balungi Bossa dari Uganda, Luz del Carmen Ibanez Carranza dari Peru, Reine Adelaide Sophie Alapini Gansou dari Benin, dan Beti Hohler dari Slovenia, lapor Anadolu Ajansi.
“Individu-individu ini secara langsung terlibat dalam usaha ICC untuk menyiasat, menangkap, menahan atau mendakwa warganegara AS atau Israel, tanpa persetujuan daripada mana-mana negara,” katanya.
Rubio menegaskan bahawa AS dan Israel bukan merupakan pihak kepada Statut Rom yang menubuhkan ICC, dan menyifatkan tindakan mahkamah itu sebagai ‘tidak sah dan tidak berasas’.
Beliau berkata Bossa dan Ibanez Carranza telah memutuskan untuk membenarkan siasatan terhadap anggota tentera AS di Afghanistan, manakala Alapini Gansou dan Hohler meluluskan pengeluaran waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
“Penegasan yang berbahaya ini dan penyalahgunaan kuasa menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara AS serta sekutunya, termasuk Israel,” dakwa Rubio.
Beliau berkata AS akan mengambil ‘apa sahaja tindakan yang dianggap perlu’ bagi melindungi kedaulatan negara dan sekutunya daripada ‘tindakan tidak sah’ oleh ICC. – Bernama/Anadolu
