WASHINGTON, 8 OGOS – Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif ke atas jongkong emas seberat satu kilogram dan 100 auns susulan keputusan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) dalam surat bertarikh 31 Julai bahawa jongkong tertakluk di bawah kod kastam yang layak dikenakan tarif, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik laporan Financial Times kelmarin.
Akhbar itu menjelaskan bahawa Washington mengeluarkan surat rasmi bagi memberikan penjelasan berhubung aspek dasar perdagangannya.
Menurut laporan berkenaan, keputusan CBP itu bercanggah dengan anggapan industri sebelum ini bahawa jongkong emas berada di bawah kod kastam berbeza yang membolehkan ia dikecualikan daripada tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Trump.
Jongkong seberat satu kilogram, yang merupakan bentuk utama dagangan di pasaran Comex merangkumi sebahagian besar eksport emas Switzerland ke AS, menurut laporan itu. – Bernama


