Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    AS-Korea Selatan adakan latihan jet pejuang baharu

    SEOUL, 23 FEB – Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) menerbangkan jet pejuang baharu mereka dalam latihan pemintasan peluru berpandu bersama hari ini di sepanjang Semenanjung Korea, kata tentera udara Korea Selatan, tindak balas terhadap siri ujian senjata tahun ini oleh saingannya, Korea Utara.

    Korea Utara telah melancarkan enam pusingan ujian peluru berpandu setakat tahun ini, kebanyakannya dilaporkan melibatkan peluru berpandu jelajah yang terbang pada altitud rendah untuk mengatasi pertahanan peluru berpandu pesaing.

    Penganalisis berkata, sekiranya berlaku konflik, Korea Utara berhasrat akan menggunakan peluru berpandu jelajah untuk menyerang kapal induk pesawat udara AS serta pangkalan tentera AS di Jepun.

    Tentera udara Korea Selatan berkata latihan hari ini melibatkan jet pejuang F-35A generasi tempur dari kedua-dua buah negara dan jet pejuang lain dari Korea Selatan. Ia berkata F-35A AS telah dikerahkan di Korea Selatan kelmarin dari Pangkalan Udara Kadena di Okinawa, Jepun.

    Korea Utara telah meningkatkan ujian senjatanya sejak 2022 yang menurut pakar sebagai percubaan untuk meningkatkan pengaruhnya dalam diplomasi masa depan. Korea Selatan dan AS telah bertindak balas dengan meluaskan latihan ketenteraan mereka.

    Tahun ini, Korea Utara dijangka meningkatkan aktiviti ujian dan retorik pertempuran menjelang pilihan raya kedua-dua negara, AS dan Korea Selatan. – AP

    Gambar menunjukkan sebuah jet pejuang F-35A AS berlepas dari Pangkalan Udara Osan AS di Pyeongtaek, Korea Selatan, pada 23 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...