SEOUL, 5 OGOS – Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) tetap meneruskan latihan ketenteraan tahunan bersama hari ini, tidak mengendahkan amaran daripada Korea Utara bahawa perang olok-olok itu akan membahayakan rundingan nuklear antara Washington dan Pyongyang.
Latihan ketenteraan itu diadakan selepas Pyongyang menguji siri peluru berpandu jarak dekat baru-baru ini, menyifatkan tindakan itu satu ‘amaran’ terhadap Korea Selatan supaya tidak meneruskan latihan ketenteraan simulasi komputer dengan AS.
“Latihan bersama kami adalah untuk mengesahkan keupayaan Seoul dalam persediaan mengambil alih kawalan operasi ketika perang,” kata seorang pegawai.
Mengikut perjanjian keselamatan AS-Korea Selatan, seorang jeneral AS akan mengambil alih arahan pasukan gabungan ketika perang, namun Seoul sekian lama berusaha menukar kedudukan itu.
Penganalisis berkata, aktiviti ketenteraan oleh kedua-dua pihak mungkin menangguhkan rundingan program senjata Korea Utara, yang menyaksikan ia dikenakan pelbagai sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sehingga akhir tahun ini. – AFP