MINNEAPOLIS, 31 MEI – Perintah berkurung telah dilaksanakan di bandar-bandar utama di Amerika Syarikat (AS) kelmarin ketika pertelagahan terhadap kekejaman polis meningkat di seluruh AS dengan para penunjuk perasaan mengabaikan amaran daripada Presiden Donald Trump bahawa kerajaan akan menghentikan demonstrasi ganas itu.
Minneapolis, yang menjadi titik utama kekacauan, menyaksikan malam kelima berturut-turut keganasan dengan pihak polis yang melepaskan gas pemedih mata dan grenad pegun ke arah penunjuk perasaan yang meluahkan rasa marah atas kematian seorang lelaki kulit hitam semasa penangkapan di bandar pada Isnin lalu.
Los Angeles, Chicago dan Atlanta menjadi antara bandar yang mengarahkan penduduknya untuk kekal berada di rumah semalam ketika lebih banyak negeri memanggil askar Pengawal Kebangsaan untuk membantu mengawal rusuhan yang tidak pernah berlaku di AS selama beberapa tahun.
Dari bandar Seattle hingga ke New York, puluhan ribu orang penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan raya menuntut hukuman pembunuhan yang lebih berat dan penangkapan atas kematian George Floyd yang berhenti bernafas selepas pegawai polis Minnaeapolis, Derek Chauvin menekan lututnya di leher Floyd selama hampir sembilan minit.
Di Los Angeles, para pegawai melepaskan tembakan peluru getah dan mengayun-kan belantan semasa berdepan dengan para penunjuk perasaan yang membakar sebuah kereta polis.
Pihak polis dan penunjuk perasaan bertelagah di beberapa buah bandar termasuk Chicago dan New York, dengan petugas bertindak balas terhadap serangan semburan lada sementara tingkap kedai dipecahkan di Philadelphia.
Trump menyalahkan pihak berhaluan kiri atas keganasan tersebut, termasuk rampasan dan pembakaran yang berleluasa di Minneapolis, dengan mengatakan perusuh tidak menghormati Floyd. – AFP