Wednesday, March 19, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS lancar serangan balas

    GHAZNI, Afghanistan, 10 Ogos – Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara hari ini untuk membalas serangan Taliban di ibu kota wilayah Afghanistan, di mana penduduk ketakutan berlindung di dalam rumah mereka di tengah letupan dan tembak-menembak tatkala anggota keselamatan berusaha menewaskan pemberontak.

    Pegawai berkata anggota khas Afghanistan juga telah dihantar ke bandar tenggara Ghazni selepas percubaan terbaharu oleh Taliban untuk menawan sebuah pusat bandar, dengan serangan bertubi-tubi tatkala tekanan ke atas pemberontak kian memuncak untuk mendesak mereka supaya mengadakan rundingan damai.

    Sekurang-kurangnya seorang tentera Afghanistan terbunuh dan tujuh yang lain cedera dalam pertempuran itu, kata jurucakap gabenor wilayah Arif Noori.

    Rumah orang awam dan tempat pemeriksaan tentera telah menjadi sasaran serangan mortar dan mayat berpuluh pemberontak Taliban bergelimpangan di jalan raya, tambah beliau.

    Taliban memulakan serangan pada lewat semalam dari beberapa kedudukan di sekitar bandar, kata ketua polis wilayah Farid Ahmad Mashal.

    Gambar yang diambil dari video AFPTV, kelmarin menunjukkan kepulan asap naik di ruang udara selepas tentera Taliban melancarkan serangan ke atas bandar Ghazni, Afghanistan. – AFP

    Penduduk yang bercakap kepada AFP berkata bekalan elektrik ke kawasan tersebut telah diputuskan sejak pertempuran meletus, dengan kejadian tembak-menembak berlaku di seluruh bandar dan bangunan kerajaan dibakar.

    “Kami berasa amat takut. Taliban merayau-rayau di merata tempat di seluruh bandar,” beritahu pemilik kedai, Mohammad Haleem kepada AFP.

    Seorang lagi penduduk, Yasan, berkata Taliban menggunakan pembesar suara di masjid untuk mengingatkan penduduk supaya berlindung dalam rumah mereka. “Letupan dan tembak-menembak kedengaran. Kami berasa takut,” tulis Yasan dalam laman Facebook.

    AS berkata bandar tersebut masih berada dalam kawalan kerajaan. “Tentera AS bertindak balas dengan serangan udara pada pagi ini di Ghazni,” tulis pegawai untuk Tentera AS di Afghanistan di Twitter hari ini.

    “Tentera Afghanistan tidak berganjak dan mengekalkan kawalan ke atas semua pusat kerajaan. Satu percubaan yang gagal oleh Taliban untuk merampas kawasan tersebut, sementara menghasilkan tajuk berita utama,” tambahnya.

    Seorang jurucakap untuk Presiden Ashraf Ghani berkata Taliban telah mengalami kekalahan teruk dalam serangan itu serta mengesahkan serangan udara yang dilancarkan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda