AS lanjutkan tarikh luput vaksin

WASHINGTON, 30 JULAI – Ratusan ribu dos vaksin COVID-19 telah diselamatkan daripada dibuang selepas badan pengawal selia Amerika Syarikat (AS) melanjutkan tarikh luput mereka untuk kali kedua, sebahagian daripada usaha negara untuk menyelamatkan vaksin tamat tempoh untuk mengatasi peningkatan dalam jangkitan negara pada musim panas.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) menghantar sepucuk surat kepada pembuat vaksin Johnson & Johnson mengumumkan dos masih selamat dan berkesan untuk sekurang-kurangnya enam bulan apabila disimpan dengan baik. Tindakan FDA memberikan dos vaksin tersebut enam minggu tambahan ketika pegawai kerajaan mendesak lebih ramai warga AS mendapatkan suntikan vaksin.

Usaha sama juga dilakukan di beberapa negeri ketika pegawai kesihatan awam berusaha memastikan vaksin yang akan luput tempohnya diberikan kepada orang awam sebelum tarikhnya tamat.

Pegawai kesihatan persekutuan telah menghantar 18 juta dos vaksin J&J tambahan ke negeri-negeri dan masih belum digunakan, menurut laman web Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit. Syarikat tidak berkongsi tarikh luput yang khusus.

Vaksin J&J bukan sahaja vaksin yang berdepan tarikh luput. Negeri-negeri di AS juga melaporkan dos Pfizer dan Moderna bakal luput tempohnya tidak lama lagi, yang ditetapkan pada enam bulan daripada tarikh pengeluaran. Di Louisiana, kira-kira 100,000 dos Pfizer dijangka luput tarikhnya dalam masa seminggu, misalnya.

Gabenor merayu orang awam supaya mendapatkan suntikan vaksin, dan ada di antara mereka menawarkan ganjaran wang tunai – bayaran AS$100 di New Mexico dan Bandar New York. – AP

Gambar menunjukkan bebuli vaksin Johnson & Johnson di sebuah kedai farmasi di Denver. Ratusan ribu vaksin COVID-19 telah diselamatkan daripada dibuang selepas badan pengawal selia AS melanjutkan tarikh luput untuk kali kedua. – AP