Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS larang lembu dari Mexico kerana dijangkiti larva pemakan daging

    WASHINGTON, 11 JULAI – Setiausaha Pertanian Amerika Syarikat (AS), Brooke Rollins, mengumumkan penutupan pelabuhan bagi perdagangan ternakan di sempadan selatan selepas lembu dari Mexico didapati dijangkiti larva pemakan daging dikenali sebagai New World Screwworm (NWS).

    “AS komited dalam aspek kewaspadaan selepas kes baharu NWS dikesan. Susulan itu kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan semula pembukaan pelabuhan bagi memperketat kuarantin serta menumpukan usaha memerangi ancaman maut ini di Mexico,” katanya.

    Pada 11 Mei lalu, pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan penggantungan import lembu, kuda dan bison hidup dari sempadan selatan susulan penularan lalat ‘screwworm’, yang larvanya boleh menyebabkan kematian haiwan ternakan.

    Bagaimanapun Isnin lalu, Mexico menyambung semula eksport lembu ke AS selepas melaksanakan langkah kawalan, susulan pengumuman Washington yang menyatakan sekatan dua bulan itu akan dilonggarkan secara berperingkat.

    Ketika itu, pegawai berkata eksport dapat diteruskan hasil kerjasama kedua-dua negara dalam membanteras serangan parasit berkenaan.

    Sebaliknya, Rollins menegaskan bahawa usaha lanjut masih diperlukan di beberapa kawasan tertentu.

    “Kami perlu melihat kemajuan ketara dalam menangani NWS di Veracruz dan negeri-negeri berdekatan di Mexico sebelum pelabuhan ternakan di sempadan selatan boleh dibuka semula,” katanya.

    Menurut anggaran rasmi, Mexico mengeksport lebih sejuta ekor lembu ke AS pada tahun 2024, tetapi dihentikan sementara pada tahun itu atas sebab yang sama.

    Krisis perdagangan ternakan ini berlaku ketika ketegangan antara kedua-dua negara memuncak susulan dasar imigresen tegas dan tarif perdagangan yang dilaksanakan pentadbiran Trump. – AFP

    Presiden AS, Donald Trump dan Brooke Rollins bercakap semasa Majlis Suruhanjaya MAHA di Rumah Putih di Washington, DC pada 22 Mei lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda