PHILADELPHIA, 20 Julai – Amerika Syarikat (AS) berjaya menundukkan persembahan garang El Salvador untuk mara ke separuh akhir Piala Emas CONCACAF menentang Costa Rica.
Perlawanan yang berlangsung pagi tadi itu menyaksikan gol-gol di separuh masa pertama menerusi Omar Gonzalez dan Eric Lichaj telah memastikan kemenangan sukar buat pasukan tuan rumah, yang memburu gelaran pertama Piala Emas sejak 2013.
Bagaimanapun, skuad Bruce Arena terpaksa bekerja keras oleh skuad El Salvador, dan hanya beberapa aksi menyelamat oleh Tim Howard dapat mengekang skuad Amerika Tengah itu di Lincoln Financial Field.
“Mereka menekan kami dan kami tidak cukup bagus dengan kawalan bola untuk memecahkan tekanan mereka,” kata Howard selepas perlawanan. “Kami memperoleh dua gol sebelum rehat dan ia jelasnya bagus untuk kami. Tetapi kami tahu mereka telah banyak memberikan masalah kepada kami.
“Ia satu kemenangan yang bagus. Kami masih boleh memperbaiki beberapa perkara.”

Empat minit sebelum rehat, AS memecahkan kebuntuan apabila Gonzalez menerima hantaran sepakan percuma Michael Bradley untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Di masa kecederaan separuh masa pertama, Lichaj menggandakan kelebihan menjadi 2-0, semuanya berterima kasih kepada kelincahan Bradley, yang memberikan umpanan gol kepada Lichaj.
Skuad Amerika itu akan berdepan dengan pasukan suku akhir Piala Dunia 2014, Costa Rica dalam aksi separuh akhir Sabtu ini.
Perlawanan itu menampilkan peluang untuk AS membalas atas kekalahan memalukan 4-0 mereka kepada Costa Rica dalam kelayakan Piala Dunia 2018 tahun lepas.
Namun Howard menegaskan bahawa balas dendam tidak menjadi agenda.
“Ia bukan mengenai apa yang sudah terjadi di masa lalu,” katanya. “Ia adalah mengenai memenangi perlawanan Sabtu ini dan mara ke final.” – AFP