AS longgarkan sekatan perjalanan

WASHINGTON, 9 JUN – Amerika Syarikat (AS) semalam melonggarkan amaran berkaitan perjalanan ke beberapa negara utama termasuk tuan rumah kejohanan Olimpik, Jepun, sekali gus berharap vaksinasi yang meluas ketika ini membolehkan aktiviti pengembaraan kembali pulih dan berjalan secara normal.

Bulan lalu, Jabatan Negara AS mengeluarkan amaran mengenai semua perjalanan ke Jepun yang dijadualkan akan menganjurkan kejohanan Olimpik pada Julai ini selepas ia tertangguh selama setahun berikutan pandemik COVID-19.

Rakan sekutu rapat dan negara jiran AS, termasuk Kanada, Mexico, Perancis dan Jerman antara yang mendapat keistimewaan itu dengan Jabatan Negara AS turut menggesa rakyatnya mempertimbangkan untuk memulakan perjalanan ke luar negara.

Memandangkan Korea Selatan menerima perakuan kesihatan yang baik, Jabatan Negara memaklumkan rakyat AS boleh mempraktikkan langkah keselamatan yang biasa iaitu mengikut garis panduan perjalanan sebelum tercetusnya pandemik COVID-19, apabila melawat ke negara itu.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, pihaknya mengkaji semula garis panduan perjalanan selepas Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan (CDC) tampil dengan cadangan baharu yang menggesa hanya rakyat yang sudah divaksinasi sepenuhnya boleh memulakan perjalanan ke luar negara, sementara yang belum diberikan suntikan tidak digalakkan mengembara.

Dalam pada itu, Isnin lalu, Penasihat Keselamatan Nasional AS, Jake Sullivan, berkata kelonggaran perjalanan bagi warga Eropah ke AS akan dibuat secara telus, ‘berpandukan sains dan bukti’.

“Kami faham keinginan rakan-rakan di Eropah dan di United Kingdom supaya perjalanan melintasi Lautan Atlantik dapat dibuka semula.

AS turut melonggarkan sekatan perjalanan bagi Afrika Selatan, Greece dan Sepanyol yang sudah menyatakan kesediaan untuk membuka semula pintu bagi pelancong asing. – AFP

Penumpang kelihatan berjalan di UnionStation di Washington DC pada 8 Jun 2021.AS semalam melonggarkan amaran berkaitan perjalanan ke beberapa negara utama. – AFP