WASHINGTON, 22 OGOS – Amerika Syarikat (AS) kelmarin meluluskan penjualan helikopter serangan Apache bernilai AS$12 bilion kepada Poland, perjanjian besar dengan sekutu yang menyokong Ukraine dalam perangnya menentang pencerobohan Rusia.
Poland akan menerima 96 helikopter penggempur Apache AH-64E daripada pengeluar Boeing, kata Jabatan Negara dalam kenyataan kepada kongres mengenai kelulusan jualan itu.
Poland tahun lalu memutuskan untuk mencari Apache bagi menggantikan armada helikopter era Soviet yang semakin usang ketika kebimbangan meningkat terhadap tindakan ketenteraan Rusia di negara jiran Ukraine.
Penjualan itu “akan meningkatkan keupayaan Poland dalam menghadapi ancaman semasa dan masa depan dengan menyediakan kekuatan yang dipercayai mampu meng-halang musuh dan mengambil bahagian dalam operasi NATO,” menurut kenyataan Jabatan Negara.
Menteri Pertahanan Poland, Mariusz Blaszczak mengesahkan pembelian itu di media sosial, menambah “sehingga prosedur selesai dan helikopter yang dibeli dihantar ke Poland, tentera AS akan memberikan kami helikopter Apache daripada sumbernya sendiri.”
Poland telah memberi sokongan yang padu kepada usaha yang diketuai AS untuk menyokong Ukraine menentang pencerobohan Rusia, dengan sebahagian besar daripada senjata AS bernilai berbilion dolar diberikan kepada Ukraine melalui sempadan Poland.
Poland mengumumkan pada Januari bahawa ia merancang untuk membelanjakan empat peratus daripada keluaran dalam negara kasarnya untuk pertahanan tahun ini, jauh melebihi sasaran NATO iaitu dua peratus. – AFP


