WASHINGTON, 10 NOV – Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan vaksin pertama di dunia untuk penyakit chikungunya iaitu virus yang disebarkan nyamuk, selepas Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) mengisytiharkannya sebagai ancaman kesihatan global yang baru muncul.
Menurut FDA, vaksin dibangunkan oleh syarikat bioteknologi dari Eropah, Valneva dan akan dipasarkan menggunakan nama Ixchiq itu, diluluskan untuk individu berusia 18 tahun ke atas yang terdedah kepada risiko tinggi.
Kebenaran diberikan kepada Ixchiq oleh pengawal selia ubat AS itu dijangka mempercepat pelaksanaan pemberian imunisasi berkenaan di negara berisiko tinggi.
Pegawai kanan FDA, Peter Marks, bagaimanapun berkata virus chikungunya dikesan merebak ke kawasan geografi baharu menyebabkan peningkatan penyebaran global penyakit terbabit.
“Jangkitan virus chikungunya boleh membawa kepada penyakit yang teruk dan masalah kesihatan berpanjangan, terutama bagi orang dewasa yang lebih tua serta individu mempunyai keadaan perubatan terpendam.
“Kelulusan hari ini menangani keperluan perubatan yang tidak dipenuhi serta menjadi kemajuan terpenting dalam pencegahan penyakit yang berpotensi melemahkan penyakit dengan rawatan yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan.
Chikungunya mengakibatkan demam dan sakit sendi teruk, paling banyak direkodkan di kawasan tropika dan subtropika Afrika, Asia Tenggara termasuk sebahagian benua Amerika.
Vaksin itu disuntik dalam satu dos dan mengandungi versi virus chikungunya yang hidup dan lemah, sama standard dengan vaksin lain. – AFP