Sunday, March 30, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS luluskan antibiotik baharu rawat jangkitan saluran kencing

    WASHINGTON, 26 MAC – Pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan antibiotik baharu untuk merawat jangkitan saluran kencing, masalah yang menjejaskan lebih 100 juta orang di seluruh dunia, terutamanya wanita, kata firma gergasi farmaseutikal Britain, GSK, kelmarin.

    Syarikat itu berkata Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS meluluskan penggunaan produk itu dipanggil Blujepa untuk rawatan jangkitan saluran kencing yang tidak kompleks dalam wanita dewasa dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas.

    Ia adalah ubat pertama dalam kelas baharu antibiotik oral untuk jangkitan saluran kencing, kata Pengarah Saintifik GSK, Tony Wood, yang menggelar kelulusan FDA sebagai pencapaian penting.

    “Walaupun antibiotik lain wujud untuk merawat jangkitan, ubat baharu ini akan memberikan pilihan lain kepada pesakit yang mengalami jangkitan berulang dan peningkatan kadar rintangan terhadap rawatan sedia ada,” kata Wood.

    Penggunaan berulang terhadap antibiotik telah membawa kepada kemunculan bakteria yang semakin kebal, menjadikan jangkitan yang disebabkannya semakin sukar untuk disembuhkan.

    Satu kajian yang diterbitkan pada 2019 menyimpulkan bahawa 92 peratus bakteria yang menyebabkan jangkitan saluran kencing kebal terhadap sekurang-kurangnya satu antibiotik dan 80 peratus lagi kebal terhadap dua antibiotik. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda