Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS mansuhkan pemeriksaan tanggal kasut penumpang

    WASHINGTON, 9 JULAI – Penumpang di lapangan terbang Amerika Syarikat (AS) tidak perlu lagi menanggalkan kasut mereka semasa pemeriksaan keselamatan

    Peraturan baharu tersebut diumumkan kelmarin, 20 tahun selepas peraturan tersebut diperkenalkan dan dikuatkuasakan.

    Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem mengumumkan perubahan kepada peraturan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan di Washington.

    Penumpang di lapangan terbang AS dikehendaki menanggalkan kasut semasa pemeriksaan sejak 2006, lima tahun selepas penahanan ‘Shoe Bomber’ Richard Reid, yang menaiki penerbangan dengan bahan letupan yang tersembunyi dalam kasutnya.

    “Dalam tempoh 20 tahun sejak peraturan tersebut dilaksanakan, teknologi keselamatan kami telah berubah secara mendadak. Ia berkembang. TSA telah berubah. Sekarang kami ada pendekatan pelbagai lapisan melibatkan keseluruhan kerajaan terhadap keselamatan,” kata Noem.

    “Kami sangat yakin bahawa kami boleh terus memberi perkhidmatan kepada penumpang sambil mengekalkan standard keselamatan yang sama,” tambahnya.

    Reid, ahli Al-Qaeda telah ditumpaskan oleh penumpang lain ketika dia cuba menyalakan fius pada kasutnya dalam penerbangan American Airlines dari Paris ke Miami pada Disember 2001.

    Reid mengaku bersalah atas keganasan dan tuduhan lain dan sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara keselamatan maksimum di Colorado.

    Disebabkan beberapa serangan lalu, langkah keselamatan lapangan terbang dikemas kini dalam beberapa dekad kebelakangan ini, terutamanya selepas serangan 11 September 2001, di mana perampas menerbangkan jet penumpang ke Menara Berkembar di New York serta Pentagon.

    Pada 2006, pihak berkuasa British berjaya gagalkan rancangan untuk meletupkan beberapa pesawat di udara serentak dengan bahan letupan jenis cecair. Sejak itu, sekatan yang ketat telah dikenakan pada cecair dan gel, seperti ubat gigi.

    Peralatan elektronik juga diperiksa dalam pemeriksaan tambahan sebagai usaha untuk mengelak serangan, yang memerlukan penumpang mengeluarkan komputer riba dari beg sebagai contoh. – AFP

    Kristi Noem bercakap semasa sidang akhbar di Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan Washington kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda