AS mesti kurangkan tarif – China

BEIJING, 5 DIS – Washington mesti mengurangkan tarif ke atas import China jika kedua-dua pihak ingin mencapai satu perjanjian perdagangan, kata China hari ini, menandakan Beijing tidak berganjak daripada dasarnya sebelum satu lagi kenaikan duti pada 15 Disember.

Kedua-dua pihak sedang berunding butir-butir perjanjian ‘Fasa 1’ yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada Oktober. Beijing berkata pada bulan lalu pihak AS bersetuju untuk mengurangkan sesetengah tarif, namun Trump menafinya.

“China percaya jika kedua-dua pihak mencapai perjanjian ‘Fasa 1’, tarif harus dikurangkan,” kata jurucakap Kementerian Perdagangan Gao Feng.

Gao berkata perunding sedang ‘berunding’ tetapi beliau tidak mempunyai butir lanjut.

Washington dijangka menambah tarif ke atas import China berjumlah AS$160 bilion pada 15 Disember, termasuk telefon pintar dan barang mainan. Ia akan melanjutkan penalti kepada hampir segala yang dibeli oleh Amerika Syarikat dari China.

Pasaran kewangan global merosot minggu ini selepas Trump menimbulkan keraguan mengenai sama ada satu perjanjian boleh dicapai pada tahun ini. Ahli ekonomi berkata penyelesaian muktamad tidak mungkin dicapai tahun ini. Sesetengahnya meluahkan keraguan kedua-dua pihak boleh memuktamadkan perjanjian ‘Fasa 1.’ – AP