Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS minat jalin perkongsian perubahan iklim dengan Malaysia

    KUALA LUMPUR, 27 OKT – Amerika Syarikat (AS) berminat untuk meneroka perkongsian perubahan iklim dengan Malaysia, menumpukan kepada bahan api penerbangan mampan (SAF).

    Langkah tersebut merupakan antara usaha negara itu untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai masa depan yang bersih dan berdaya tahan berasaskan iklim hijau.

    Kaunselor Ekonomi di Kedutaan AS Kuala Lumpur, Dave Williams berkata hasrat untuk menjalinkan perkongsian itu adalah sebahagian daripada inisiatif iklim Washington, susulan kelulusan rang undang-undang pendanaan iklim AS 2022 dan Akta Pengurangan Inflasi, yang meliputi kredit cukai untuk SAF.

    Bagi tujuan itu, tiga jabatan AS iaitu Jabatan Pertanian, Jabatan Tenaga dan Jabatan Pengangkutan telah memberikan komitmen untuk bekerjasama bagi meningkatkan pembangunan dan penggunaan SAF, katanya kepada Bernama hari ini.

    SAF adalah bahan penting untuk penyahkarbonan perjalanan udara, merujuk kepada matlamat AS untuk mengurangkan gas rumah hijau, berbanding dengan penggunaan bahan api pesawat berasaskan petroleum.

    “Oleh itu, kami berharap Malaysia dapat memanfaatkan teknologi baharu dan usaha pengkomersialan SAF, dan kami mengalu-alukan usaha Malaysia dalam bidang ini,” katanya.

    Menurut laporan, penerbangan komersial bertanggungjawab terhadap dua hingga tiga peratus daripada pelepasan karbon global dan peratusan itu dijangka terus meningkat susulan pemulihan industri penerbangan komersial yang sedang rancak daripada kesan pandemik COVID-19.

    Beliau berkata dalam menghadapi cabaran itu, AS menghargai kerjasama dengan Malaysia dalam memenuhi matlamat iklim bersama.

    Williams berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kedutaan AS telah menganjurkan beberapa bengkel yang menekankan aspek iklim dan mengatur lawatan sambil belajar ke AS untuk pegawai Malaysia. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda