WASHINGTON, 1 MAC – Empat juta dos vaksin COVID-19 terbaharu untuk diluluskan oleh Amerika Syarikat (AS) akan dihantar di seluruh negara mulai esok, kata pegawai kanan pentadbiran.
Amerika Syarikat pada Sabtu meluluskan vaksin Johnson & Johnson (J&J) untuk kegunaan kecemasan, merangsang pelan Presiden Joe Biden untuk memerangi wabak yang telah membunuh lebih daripada 500,000 warga Amerika.
Vaksin satu suntikan – jenis ketiga yang diluluskan – adalah amat efektif dalam mencegah COVID-19, termasuk varian lebih baharu, kata Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) sebelum memberikannya lampu hijau.
“Bermula malam ini, 3.9 juta dos Johnson & Johnson akan diagih menerusi semua saluran – negeri, puak, wilayah dan farmasi dan pusat kesihatan komuniti. Dos J&J akan dihantar seawalnya pagi esok,” kata pegawai pentadbiran semalam.
“Ia adalah inventori keseluruhan J&J,” tambah pegawai. “J&J menjangka menghantar kira-kira 16 juta dos tambahan pada akhir Mac. Maka ia akan berjumlah 20 juta pada keseluruhannya.”
Vaksin J&J adalah yang ketiga diluluskan di AS selepas Pfizer dan Moderna diluluskan pada Disember.
Lebih 65 juta penduduk di AS setakat ini telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin Pfizer atau Moderna, namun vaksin J&J hanya memerlukan satu dos, dan disimpan pada suhu peti sejuk, menawarkan kelebihan logistik dan lebih praktikal.
J&J nampaknya kurang menawarkan perlindungan berbanding Pfizer dan Moderna, yang mempunyai keberkesanan kira-kira 95 peratus ke atas semua jenis strain COVID-19.
J&J mengumumkan bahawa ia berhasrat menghantar 20 juta dos pada akhir Mac, dengan 100 juta pada Jun, walaupun AS mendesak ia menyegerakan jadual masa tersebut. – AFP
