Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS, mula pindah kakitangan kedutaan di Sudan

    KHARTOUM, 23 APRIL – Tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan helikopter untuk memindahkan kakitangan kedutaan dari ibu kota Sudan yang dilanda peperangan, kata Presiden Joe Biden, kelmarin, ketika negara lain berusaha membantu rakyat mereka melarikan diri dari pertempuran maut antara jeneral-jeneral bermusuhan.

    Perancis dan Turkiye hari ini juga melancarkan operasi pemindahan dari negara timur laut Afrika yang bergolak itu, di mana pertempuran berterusan telah memasuki minggu kedua.

    Pertempuran sengit antara tentera Sudan dan kumpulan separa tentera yang menyaksikan pertempuran dengan kereta kebal di kawasan yang padat dengan penduduk di Khartoum dan serangan udara yang dilancarkan oleh jet pejuang telah membunuh lebih daripada 400 orang dan menyebabkan ribuan cedera.

    Biden, yang berkata tentera AS menjalankan operasi untuk mengeluarkan kakitangan kerajaan AS, mengutuk keganasan itu dan berkata “ia tidak wajar dan mesti dihentikan”.

    Lebih 100 tentera operasi khas AS menyertai usaha menyelamat untuk mengeluarkan kurang daripada 100 orang, yang menyaksikan tiga helikopter Chinook terbang dari Djibouti, kekal di darat di Khartoum kurang daripada satu jam.

    Kementerian Luar Perancis berkata hari ini operasi pemindahan segera telah dimulakan dan warganegara Eropah serta mereka dari negara rakan sekutu juga diberikan bantuan, tanpa memberikan butiran lanjut.

    Pertempuran berterusan hari ini dengan bunyi tembakan automatik bergema di seluruh Khartoum dan pesawat tentera Sudan berlegar di atas, kata saksi.

    Turkiye memulakan operasi menyelamat pada waktu subuh melalui jalan raya dari bandar selatan Wad Medani, tetapi rancangan telah ditangguhkan dari satu tapak di Khartoum selepas letupan berhampiran masjid yang ditetapkan sebagai kawasan perhimpunan, kata kedutaan di Twitter. – AFP

    Asap tebal kelihatan di Khartoum, Sudan pada 22 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda