BANGKOK, 29 Jun – Status Thailand dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) 2018 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat telah dinaikkan ke Tahap 2 daripada Senarai Pemerhatian Tahap 2 pada 2017.
Peningkatan status itu yang diumumkan dalam laporan oleh Jabatan Negara adalah hasil usaha-usaha lebih tegas yang dijalankan untuk membanteras pemerdagangan manusia. “Kerajaan (Thailand) meningkatkan usaha-usaha itu dengan mendakwa dan mensabitkan lebih ramai pelaku jenayah itu dan memendekkan tempoh pendakwaan bagi kes-kes pemerdagangan melalui penggunaan bahagian penguatkuasaan anti pemerdagangan yang khusus,” kata laporan itu yang dikeluarkan di Washington semalam.Laporan itu juga menyebut tentang siasatan yang diperdebatkan mengenai kes-kes persubahatan pegawai dalam jenayah pemerdagangan dan sabitan 12 pegawai yang bersubahat tahun lepas, termasuk 11 orang yang terlibat dalam pemerdagangan migran Rohingya.
Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan hari ini berkata, peningkatan ke Tahap 2 menunjukkan pengiktirafan Amerika Syarikat kepada usaha-usaha yang serius dan berterusan oleh Thailand bagi menangani kekurangan sebelum ini serta mencapai kemajuan yang ketara untuk membasmi semua bentuk pemerdagangan manusia.
“Thailand akan meneruskan keterlibatan dalam mengukuhkan kerjasama dan perkongsian dengan semua pihak berkepentingan dalam pendekatan seluruh masyarakat dan akan terus bekerjasama rapat dengan pertubuhan antarabangsa dan pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat untuk menghentikan pemerdagangan orang,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Thailand akan terus meningkatkan kerangka perundangan dan dasar kerana ia merupakan usaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kecekapan operasi bagi menangani pemerdagangan manusia di semua bidang. – Bernama