Monday, May 5, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS perlu turun tarif ke atas barangan China – Trump

    WASHINGTON, 5 MEI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa AS akhirnya perlu menurunkan tarif import ke atas barangan dari China kerana jika tidak, adalah mustahil untuk membangunkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

    “Pada suatu ketika nanti, saya akan turunkan tarif itu, kerana kalau tidak, awda tidak akan dapat berniaga dengan mereka. Dan mereka sangat mahu berniaga kerana ekonomi mereka benar-benar teruk. Ekonomi mereka sedang merudum,” katanya dalam sesi temu bual bersama Fox News.

    Namun begitu, Trump menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat menurunkan halangan perdagangan yang sedia ada ke atas barangan China sebagai prasyarat untuk memulakan rundingan antara Washington dan Beijing, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    Trump juga percaya bahawa ekonomi China sedang terjejas teruk akibat tarif yang dikenakan oleh AS.

    Pada April lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengeluarkan unjuran terkini yang meramalkan pertumbuhan ekonomi China perlahan kepada empat peratus pada 2025, iaitu 0.6 mata peratusan lebih rendah daripada unjuran sebelumnya.

    Pada masa sama, IMF turut menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi tahun ini kepada 1.8 peratus, 0.9 mata peratusan lebih rendah berbanding unjuran Januari lalu.

    Susulan beberapa langkah dalam perang perdagangan antara kedua-dua negara, tarif ‘timbal balik’ tambahan AS ke atas barangan China mencecah 125 peratus, manakala tarif China terhadap barangan AS juga berada pada kadar 125 peratus.

    Selain itu, AS turut mengenakan tarif tambahan sebanyak 20 peratus ke atas China atas alasan kegagalan memerangi dadah sintetik secara berkesan. – Bernama/Sputnik/Ria Novosti

    Donald Trump semasa menjawab soalan daripada akhbar di South Lawn, apabila kembali ke White House di Washington, DC kelmarin. Tarif ke atas China akan diturunkan menurutnya. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda