MOSCOW, 28 JUN – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sedang menimbang sekatan baharu ke atas eksport cip kecerdasan buatan (AI) ke China ekoran kebimbangan terhadap keselamatan memandangkan ini boleh digunakan untuk pembangunan senjata dan aktiviti penggodaman, lapor Sputnik memetik Wall Street Journal pada Selasa.
Jabatan Perdagangan AS mungkin mengumumkan sekatan baharu itu seawal bulan depan bagi menghalang eksport cip yang dibuat oleh syarikat teknologi maklumat Amerika Nvidia dan Advanced Micro Devices (AMD) dan pembuat cip lain ke China dan negara lain, yang menimbulkan ancaman keselamatan serupa, tanpa memperoleh lesen terlebih dahulu, menurut laporan itu.
Set langkah kawalan baharu eksport yang dijangka menjadi sebahagian daripada peraturan akhir dalam sistem kod dan peningkatan langkah kawalan eksport yang diumumkan pada bulan Oktober itu juga boleh menyekat pemajakan perkhidmatan awan kepada syarikat IT China, yang mereka gunakan untuk memintas larangan eksport cip canggih. – Bernama
