Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS potong dana AS$500 juta bangunkan vaksin mRNA

    WASHINGTON, 6 OGOS – Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat (AS), Robert F Kennedy Jr merancang untuk memotong kira-kira AS$500 juta dana bagi pembangunan beberapa vaksin mRNA tertentu, menurut Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS kelmarin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
     
    “Data menunjukkan vaksin ini gagal memberikan perlindungan yang berkesan terhadap jangkitan pernafasan atas seperti COVID dan selesema,” kata Kennedy dalam satu kenyataan.
     
    “Kami mengalihkan dana itu kepada platform vaksin yang lebih selamat dan menyeluruh serta kekal berkesan walaupun virus mengalami mutasi,” tambahnya, tanpa mengulas lanjut.
     
    Penggunaan teknologi mRNA untuk tujuan lain tidak terjejas oleh keputusan itu. Teknologi yang dibangunkan berasaskan cetak biru protein dalam tubuh manusia, mendapat perhatian meluas semasa pandemik COVID-19.
     
    Kennedy sebelum ini menerima kritikan kerana didakwa mempromosikan keraguan terhadap vaksin dan melemahkan keyakinan awam terhadap kempen imunisasi, terutamanya terhadap campak. Beliau pernah mendakwa terdapat kaitan antara vaksin dan autisme – satu teori yang telah disangkal secara meluas oleh para saintis.
     
    Bagaimanapun, Kennedy menegaskan bahawa beliau tidak menganggap dirinya sebagai antivaksin.
     
    Langkah itu dibuat ketika beberapa persatuan perubatan AS memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump pada Julai lepas. Saman itu bertujuan mengembalikan semula garis panduan vaksin COVID-19 untuk wanita hamil dan kanak-kanak, yang telah dimansuhkan pada Mei di bawah arahan Kennedy. – Bernama 
     
    Gambar fail bertarikh 29 Julai 2025 menunjukkan Kennedy bercakap semasa sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia di Washington, DC. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda