LEUVEN, BELGIUM, 5 APRIL – Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken hari ini memuji ‘penyelarasan yang semakin meningkat’ antara Brussels dan Washington dalam pendekatan mereka terhadap China, terutamanya dalam bidang mikrocip dan teknologi hijau.
“Apa yang kita lihat sejak tiga tahun terakhir ialah peningkatan penyelarasan dalam pendekatan kita terhadap isu-isu ini.
“Dan apabila Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) bersatu, apabila kita bekerja dengan tujuan yang sama… ia memberikan perbezaan yang besar, ” kata Blinken selepas menghadiri mesyuarat EU-AS mengenai perdagangan dan teknologi di Belgium.
Mesyuarat EU-AS ialah forum bagi ekonomi besar di kedua-dua bahagian Atlantik untuk mengatasi perbezaan mereka dan meletakkan asas bagi formulasi dasar Barat dalam bidang perdagangan dan teknologi.
Gabungan EU dan AS mewakili kira-kira satu pertiga daripada KDNK global,
manakala China mewakili kira-kira 16 peratus, yang dikira berdasarkan kesetaraan kuasa beli.
Dari segi nominal, EU dan AS bersama-sama menyumbang kira-kira 44 peratus daripada KDNK global, dan China sekitar 18 peratus. – AFP






