Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS rampas kapal Korea U

    WASHINGTON, 10 Mei – Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama merampas sebuah kapal Korea Utara yang disyaki memindahkan arang batu serta melanggar sekatan yang di kenakan ke atas rejim itu, lapor agensi berita Yonhap, memetik kenyataan Jabatan Kehakiman pada Khamis.

    Kapal Wise Honest seberat 17.061 tan, satu daripada kapal pukal terbesar Korea Utara, ditahan pihak berkuasa maritim sebuah negara asing pada April tahun lepas dan ia kini disita pihak AS.

    “Tindakan sivil hari ini adalah untuk menyita kapal kargo Korea Utara kerana melanggar sekatan antarabangsa,” kata Peguam Negara daerah selatan New York, Geoffrey S. Berman.

    Berman berkata Korea Utara didakwa menyembunyikan tujuan asal Wise Honest untuk mengeksport bermetrik tan arang batu gred tinggi kepada pembeli asing dan mengimport jentera berat ke rejim komunis itu.

    Rejim komunis itu dikenakan sekatan oleh AS dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana program peluru berpandu nuklear dan balistik, termasuk larangan mengeksport arang batu.

    Pengumuman itu berlaku beberapa jam selepas Korea Utara melancarkan dua peluru jarak dekat ke Laut Timur.

    Pelancaran itu menyusuli penembakan pelbagai peluru berpandu jarak jauh ke dalam perairan yang sama pada Sabtu.

    Menurut dokumen yang difailkan di mahkamah persekutuan di Manhattan pada Khamis, Wise Honest digunakan oleh sekutu perkapalan Songi Trading Company, yang disekat AS pada Jun 2017 kerana menjalankan urusan perdagangan arang batu dengan Korea Utara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda